Sintok: Dalam usaha memberi pencerahan tentang konsep Malaysia Madani, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Utara malaysia (UUM) menganjurkan Wacana Malaysia Madani yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, semalam.
Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, Allah mencipta dan menjadikan manusia sebagai khalifah di mana manusia diberi peranan sebagai khalifah untuk membangunkan dan memakmurkan dunia.
“Manusia menjadi wakil Allah di muka bumi walaupun ada mahkluk lain seperti jin, binatang, serta pokok tetapi Allah memilih manusia dengan akal waras dan semangat yang jitu untuk memakmurkan muka bumi.
“Maka Allah datangkan satu panduan supaya tidak tersasar iaitu al-Quran, mukjizat teragung yang menjadi panduan dan keutamaan pada kita umat manusia. Sesungguhnya al-Quran inilah yang menjadi petunjuk dan pada al-Quran itulah ada keadilan yang cukup setara selain membawa penyelesaian kepada segala masalah dihadapi manusia,” katanya dalam Wacana Malaysia Madani anjuran YADIM dengan kerjasama UUM, semalam.
Malaysia Madani merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
Madani yang bererti peradaban merupakan sintesis gaya Malaysia, yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baru yang direka untuk menangani isu baru dan ketidakpastian.
Enam nilai teras MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Program ini juga selari dengan geraan Kementerian Pendidikan Tinggu dalam memperkenalkan Program Semarak Siswa Madani.
Dr. Mohamad Khadafi berkata, pemikiran manusia berlandaskan pada al-Quran akan menjadikan manusia tidak tersasar daripada tujuan hidup sebenar.
“Penceramah yang didatangkan khusus untuk memberi pencerahan akan memberi semangat dan kekuatan untuk memahami, menghayati dan melaksanakan kerana al-Quran bukan turun untuk dibaca semata-mata tetapi dihayati dan dilaksanakan oleh wakil Allah di muka bumi.
“Wacana ini membicarakan suatu perkara penting dalam kehidupan bernegara mengetahui lebih lanjut berkaitan dasar besar yang akan dilaksanakan oleh perdana menteri selain perlu selari bagi memastikan nilai Islam diletakkan di tempat tertinggi,” ucapnya.
Sementara itu, Pengarah YADIM Kedah/Perlis, Hafsah Hashim berkata, wacana ini bertujuan memberi pencerahan tentang Malaysia Madani memandangkan masyarakat perlu mengetahui apa yang cuba diterapkan oleh Perdana Menteri mengenai konsep Malaysia Madani.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada UUM di atas kerjasama dalam menganjurkan satu program serta komitmen yang tinggi oleh YADIM dalam memastikan wacana ini dapat diadakan.