SINTOK: Mahasiswa UUM didedahkan dengan ilmu Fardhu ‘Ain dan Sistem Kekeluargaan dalam Islam menerusi Bengkel Fasilitator: Sijil Eksekutif Kepimpinan Islam dan Komuniti (SKIL), baru-baru ini.
Penyelaras program SKIL, Ustaz Muhammad Syazwan Menon berkata, bengkel anjuran Pusat Islam itu menerapkan kefahaman asas Islam yang umum dari sudut aqidah, ibadah, akhlak, kepimpinan dan hafazan al-Quran.
Jelasnya, SKIL memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kefahaman mahasiswa dalam penghayatan keluarga bahagia, sekali gus membantu mahasiswa dalam membentuk tanggungjawab sebagai seorang ketua atau pembantu keluarga agar terus mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
“Bengkel Fasilitator SKIL ini sangat membantu Fasilitator SKIL dalam menguasai kedua-dua modul yang dibangunkan Pusat Islam iaitu Modul Kepimpinan Kendiri dan Modul Kepimpinan Keluarga,” ujarnya.
Bengkel Fasilitator Modul Kepimpinan Kendiri yang berlangsung secara fizikal di Bilik Komputer Pusat Islam melibatkan penceramah di kalangan staf Pusat Islam seperti Ustaz Muhammad Kamil Yazid, Ustaz Mohd Firdaus Ahmad, Ustaz Sharif Abdus Salam Sharif Saad dan Ustaz Aus Korni Yahaya.
Peserta turut dilatih berkhidmat dalam masyarakat untuk membantu komuniti yang direalisasikan bersama-sama dengan Sekretariat Masjid Sultan Badlishah UUM dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM.
Bengkel Fasilitator Modul Kepimpinan Keluarga yang berlangsung secara atas talian pula disampaikan oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Dr. Amirul Haqeem Abd. Ghani bertajuk “Pernikahan/Perkahwinan” manakala Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Dr. Nor Hanani Ismail bertajuk “Keluarga Menurut Islam”.
Bengkel Fasilitator Modul Kepimpinan Keluarga ini disusun agar mahasiswa dapat memahami konsep kekeluargaan yang betul menurut acuan Islam seterusnya menyampaikan ilmu tersebut kepada mentee SKIL mereka dalam setiap pertemuan yang disusun Pusat Islam sepanjang semester A222 ini.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, Raudhah Muhammad Arifin berkata, program SKIL yang diwajibkan kepada semua pelajar baharu UUM ini dapat membentuk peribadi mahasiswa yang memiliki sifat yang terpuji dan ciri-ciri asas Islam.
“SKIL ini juga dapat mengasah pengetahuan asas tentang Islam yang semakin dipandang ringan oleh pelajar sekarang memandangkan subjek agama juga sudah jauh ditinggalkan pada zaman diploma, sekolah dan matrikulasi.
“Jadi wajarlah program ni diadakan demi memupuk insan yang berkualiti dari segi rohani di samping memupuk semangat jati diri muslim yang kukuh iman serta luhur budi,” ujarnya.