UUM ONLINE: Seramai 30 pelajar Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) bersama dua guru pengiring dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Perlis telah berkunjung ke Pusat Islam, baru-baru ini.
Lawatan sambil belajar ke UUM dimulakan dengan taklimat Discover UUM 2.0 oleh pegawai bertugas di Anjung Tamu di mana pelajar diberi taklimat tentang sejarah dan latar belakang UUM dari tahun 1984 sehingga mampu menjadi sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka pada masa kini.
Kecemerlangan UUM ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada pelajar-pelajar tersebut untuk memasang niat menyambung pengajian tinggi di UUM.
Taklimat ringkas mengenai latar belakang Pusat Islam UUM, carta fungsi, peranan, tanggungjawab, pelaksanaan program dan lain-lain perkongsian telah disampaikan oleh Pegawai Tadbir Pusat Islam, Muhammad Kamil Yazid.
“Melalui pertemuan singkat ini, diharap dapat memberi sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman yang berfaedah serta dapat mengutuhkan lagi ukhuwwah sesama staf,” kata guru pengiring, Siti Amrina Bokhari.
“Semoga hubungan yang terjalin dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak seterusnya menjalinkan kerjasama untuk program-program yang akan datang,” katanya lagi.