All News

UUM JELAJAH MASJID DEKATI MASYARAKAT

CHANGLUN: Bagi mendekatkan lagi universiti dengan masyarakat, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil keberkatan di bulan mulia Ramadan ini mengadakan Program UUM Jelajah Masjid 2023.

Sebagai permulaan, dua masjid dalam daerah Kubang Pasu dipilih iaitu Masjid Al Ihsan, Kampung Changkat Setul dan Masjid Ibnu Sina, Kampung Tradisi.

Program yang julung kali diadakan anjuran bersama UUM Corporate Communication dan Pusat Islam itu dimulakan dengan penyerahan satu set al-Quran oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan kepada imam di dua masjid tersebut dan juga 40 ‘Bakul Ramadan’ kepada golongan yang memerlukan.

Mohd Fo’ad berharap UUM Jelajah Masjid dapat mengeratkan hubungan antara universiti dan masjid.

Mohd Fo’ad berkata, tujuan program tersebut adalah untuk merapatkan hubungan antara UUM dan masyarakat setempat.

“Program ini menjadi fokus kepada pihak universiti dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala antara insitusi pengajian tinggi dan juga masjid.

“Justeru, UUM sangat berbesar hati untuk menghulurkan apa juga perkara yang dapat memberi manfaat bersama antara UUM dan masjid-masjid di kawasan sekitar ini,” katanya, di sini, petang tadi.

Mohd Fo’ad (tengah) menyerahkan Bakul Ramadan kepada penduduk terpilih sambil disaksikan Halimaton Shaadiah (kiri) dan Yahya di Masjid Al Ihsan.

Tambah Mohd Fo’ad, UUM Jelajah Masjid adalah salah satu program untuk universiti mendekati rakyat supaya dapat mengeratkan lagi silaturahim dan pada masa sama menjadi tanggungjawab UUM untuk saling membantu antara satu sama lain terutamanya berkaitan pembelajaran dan kebajikan.

Beliau juga berharap menjelang 10 hari terakhir Ramadan ini akan direbut oleh warga UUM dan penduduk di sini untuk meningkatkan amal ibadat.

Program UUM Jelajah Masjid turut menyumbang set Al-Quran kepada Masjid Ibnu Sina, Kampung Tradisi.

Sementara itu, Imam Masjid Al Ihsan, Yahya Mat Isa berkata, dia berterima kasih kepada UUM kerana memilih masjid berkenaan untuk penyerahan sumbangan tersebut.

Menurutnya, semoga apa yang dilakukan pada hari ini akan diberikan kesenangan dan kemudahan daripada Allah.

Bagi Imam Masjid Ibnu Sina, Abu Kassim Othman pula, dia bangga dengan aktiviti yang dianjurkan UUM selama ini di mana masjid mereka sering mendapat tumpuan.

Setiap masjid menerima set Al-Quran dan 40 Bakul Ramadan sempena UUM Jelajah Masjid 2023.

“Saya harap hubungan sebegini diteruskan lagi bukan sahaja dengan UUM, malahan IPT di kawasan sekitar ini juga,” ujarnya.

Turut serta dalam Program UUM Jelajah Masjid ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad hadir di Masjid Al Ihsan.

PIC 18