All News

WARGA KAMPUS BAYAR ZAKAT FITRAH

SINTOK: Warga kampus berpeluang membayar zakat fitrah sempena Ramadan yang mulia, di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, zakat fitrah adalah salah satu ibadah yang penting apabila tiba bulan Ramadan, selain ibadah puasa dan solat tarawih.

“Saban tahun, kita diwajibkan membayar zakat fitrah, pastinya kita meyakini zakat fitrah ibadah di dalam bulan Ramadan untuk membantu masyarakat di sekeliling kita yang berada dalam keadaan yang memerlukan.

“Inilah hikmah disyariatkan ibadah ini, dalam usaha merawat ekonomi umat dan negara. Secara tidak langsung juga, ia merupakan medium penyucian harta bagi meluaskan lagi barakah yang diperoleh dari pendapatan seharian kita,” ucapnya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kutipan Zakat Fitrah 1444 Hijrah Peringkat UUM, di Foyer Canselori Bangunan Sultan Sallehuddin, pagi tadi.

Jelasnya, majlis yang digerakkan oleh Pusat Islam UUM bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) amat dihargai untuk memudahkan warga kampus menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Amil bertauliah yang dilantik akan berada di pelbagai lokaliti di dalam kampus mengikut jadual yang ditetapkan dan mendoakan agar para amil zakat menunaikan  tanggungjawab dengan sempurna.

“Jumlah kutipan Zakat Fitrah yang ditunaikan melalui Pusat Islam pada tahun 2022     berjumlah RM 24,598 dan kita harap pada tahun ini dengan ekonomi dan keadaan yang bertambah baik jumlah akan meningkat bagi menyalurkan pada masyarakat.

“Justeru itu, saya mengalu-alukan seluruh warga kampus untuk menunaikan zakat fitrah melalui amil bertauliah yang dilantik LZNK melalui Pusat Islam UUM. Mudah-mudahan, inisiatif ini membantu masyarakat setempat secara holistik,” ujarnya.  

Beliau menyeru warga kampus merebut pahala dan kelebihan yang pelbagai dalam bulan yang barakah ini serta memperoleh Ramadan yang terbaik dan tergolong dalam kalangan penghuni syurga Ar-Rayyan kelak.

Sejurus selepas itu, beliau membayar zakat fitrah di hadapan Pengarah Pusat Islam, Zar Ei Zakaria diikuti Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan staf yang lain.

 

PIC 16