SINTOK: Majlis Interaksi Profesor Dan Berbuka Puasa yang berlangsung di EDC-UUM, malam tadi mengukir senyuman dan memberi keceriaan kepada anak yatim dan asnaf dalam menyambut kemuliaan Ramadan.
Pengerusi Majlis Profesor UUM, Universiti Utara Malaysia (MPUUM), Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan berkata, majlis sempena bulan Ramadan ini diadakan bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturahim antara ahli MPUUM serta mendekatkan MPUUM dengan komuniti khususnya anak yatim.
Jelasnya, program tanggungjawab sosial (CSR) ini sebahagian daripada program MPUUM untuk beramah mesra dan meraikan anak-anak yatim serta asnaf dari Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM serta Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Baitul Saba, Changkat Setol, Changlun.
“Kami berasa sangat gembira dapat bersama anak-anak ini di samping menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan mereka nampak sangat seronok pada majlis malam ini,” ujarnya.
Ustaz Aus Korni Yahaya menerima mock check mewakili Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM.
Manakala Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, pihaknya bersedia menyumbang sesuatu yang memberi manfaat serta memulangkan kembali kepada masyarakat dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang.
“Di kalangan kita, ada yang senang ada juga daripada golongan susah yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat semoga dengan majlis ini kita dapat berkongsi kegembiraan dan kesyukuran bersama-sama.
“UUM mempunyai 16 pusat pengajian dengan 33,000 pelajar jadi pakcik mahu anak-anak semua belajar bersungguh-sungguh supaya dapat melanjutkan pelajaran ke UUM demi mengubah masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Modal Insan, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid menyifatkan majlis ini merupakan satu aktiviti yang berjaya dalam usaha merakyatkan golongan akademia dengan komuniti khusus generasi anak-anak yatim dan asnaf yang kurang berkemampuan.
Majlis Interaksi Profesor Dan Berbuka Puasa menceriakan anak yatim dan asnaf.
Beliau berharap hubungan baik dapat terus dijalinkan dengan beberapa lagi kelompok komuniti yang memerlukan perhatian.
Pada majlis sama, MPUUM menyampaikan sumbangan wang tunai dari Tabung Prihatin MPUUM kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim (RKAY) UUM dan Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Baitul Saba selain takzirah ringkas yang disampaikan oleh Dekan, Pusat Pengajian Tamadun, Bahasa dan Falsafah (SLCP), Prof. Dr. Shukri Ahmad.
Sementara itu, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, 15, teruja menyambut kedatangan Ramadan yang memberi peluang padanya dan rakan-rakan melakukan ibadah puasa bersama-sama di Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM.
“Sudah semestinya seronok dapat berbuka puasa bersama kawan-kawan, dan alhamdulillah pada malam ini kami semua dapat berbuka puasa di hotel,” katanya.
Jelasnya, sepanjang Ramadan pelbagai aktiviti yang disusun rapi antaranya tadarus dan membaca al-Mathurat selepas Asar, mengikuti kelas pengajian pada setiap Jumaat serta menunaikan sembahyang terawih di Masjid Sultan Badlishah UUM.
Pada malam hari, anak-anak ini belajar bersama-sama dan sudah menjadi amalan sebelum tidur, mereka membaca surah al-Mulk, zikir, selawat, Asmaul Husna dan doa bagi mendapat rahmat dan kasih sayang Allah.