SINTOK: Dalam usaha mengimarahkan lagi masjid di sepanjang bulan Ramadan ini, Pusat Islam telah menyediakan juadah berbuka puasa untuk pelajar dan seluruh warga kampus di Masjid Sultan Badlishah, Masjid Imam As Syafie Bukit Kachi dan surau laluan C.
Pengarah Pusat Islam, Zar Ei Zakaria berkata, penyediaan juadah berbuka puasa itu merupakan hasil sumbangan daripada seluruh warga kampus yang pemurah lagi dermawan.
Pelajar dan staf UUM mengambil peluang mengimarah masjid di bulan puasa dengan berbuka puasa beramai-ramai.
“Sehingga hari kini, program penyediaan juadah iftar telah memberi senyuman kegembiraan kepada ratusan pelajar tempatan dan antarabangsa yang berada di kampus.
“Bagi menjayakan usaha ini, Pusat Islam masih membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk sama ada kewangan atau bahan dapur seperti beras dan sebagainya,” katanya.
Sumbangan tersebut akan dimanfaatkan bagi penyediaan juadah berbuka puasa harian serta sumbangan Bakul Ramadan kepada asnaf komuniti.
Sumbangan warga universiti dan orang awam membolehkan program Ihya Ramadan UUM dijayakan dengan penganjuran majlis berbuka puasa di masjid dan surau UUM.
Program iftar ini turut mendapat sokongan dan bantuan aktif oleh Majlis Perwakilan Pelajar UUM (MPP UUM) dan Sekretariat Masjid.
Eksekutif Pembangunan Sahsiah & Moral MPP UUM, Muhammad Irfan Danial Azrain berkata, besar harapan MPP agar penglibatan pelajar dalam program-program Ihya’ Ramadan seperti ini akan dapat menanam rasa istiqamah dalam beribadah kepada Allah.
Selain hadir ke masjid dan surau untuk berbuka puasa, menurut Irfan, pelajar turut memeriahkan suasana Ramadan ini dengan ibadah solat tarawih dan tazkirah Ramadan, malah ada pelajar yang terpilih diberi peluang sebagai imam jemputan bagi solat tarawih.
Selepas iftar, pelajar turut serta dalam aktiviti memimpin tadarus al-Quran dan menjadi sukarelawan urus jamuan berbuka puasa.
Di samping itu, aktiviti memimpin tadarus al-Quran, menguruskan jamuan dan tugasan kebersihan turut dibantu oleh sukarelawan pelajar.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada pelajar untuk membangun dan melatih kepimpinan diri sebelum pulang berbakti di dalam masyarakat pada masa hadapan,” ujarnya.
Bagi yang ingin menyumbang, boleh hubungi Ustaz Aus Korni di talian 04-9282571 atau Ustaz Kamil di talian 04-9282577.