All News

PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN AL-QURAN

UUM ONLINE: Bulan Ramadan yang terlalu istimewa mengajar umat Islam untuk mengukuhkan hubungan antara kita dengan al-Quran menerusi amalan tadarus (membaca) dan tadabbur (memahami).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar berkata, pesanan yang terdapat di dalam al-Quran menjadikan kita sebagai hamba-Nya yang lebih bertakwa di samping dapat memupuk nilai-nilai murni yang digariskan Islam.

“Kita tidak seharusnya mengejar untuk mengkhatam al-Quran semata-mata, tetapi yang lebih penting, kita seharusnya memahami dengan lebih mendalam wahyu ilahi serta intipati yang disampaikan di dalam al-Quran meliputi semua aspek kehidupan seharian,” ujarnya.

Jelasnya, Ramadan merupakan satu bulan yang mulia lagi barakah, bulan utama dari bulan yang lain di mana terdapat Lailatul Qadar yang kelebihannya lebih baik dari 1000 bulan yang lain “Ramadan yang datang kepada kita setahun sekali membawa pelbagai keberkatan dan kerahmatan daripada Allah S.W.T. Sesungguhnya kita sebagai hamba-Nya   berasa sangat gembira dengan kedatangan bulan yang berkat ini.

“Kita berpeluang untuk melaksanakan pelbagai amal ibadat fardhu dan sunat dengan menghayati semaksima yang mungkin bagi mengumpul pahala yang berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.,” ucapnya ketika merasmikan Sambutan Ihya’ Ramadhan 1444H, Peringkat Universiti bagi tahun 2023, di Pusat Islam, semalam.

Ihya’ Ramadhan diadakan bagi meraikan kedatangan bulan Ramadan yang dirindui oleh semua umat Islam di seluruh dunia bagi menambahkan amalan demi meraih ganjaran dan ketakwaan yang dijanjikan-Nya serta dapat memberikan penghayatan di dalam bulan Ramadan ini.

Menurutnya, Pusat Islam telah merancang pelbagai program yang bermanfaat sempena sambutan Ihya’ Ramadhan antaranya penyediaan juadah berbuka puasa harian kepada pelajar dan staf, tazkirah harian, tadarus, imam tarawih pelajar, siri tazkirah serta ceramah. “Terima kasih kepada Pusat Islam UUM yang menjadi nadi kepada setiap program kerohanian yang dianjurkan sepanjang Ramadan dan sentiasa memberi komitmen yang terbaik dalam memastikan setiap program berjalan dengan lancar.

“Justeru itu, sebagai sokongan kepada aktiviti yang dianjurkan, marilah kita sama-sama tanamkan niat untuk menyumbang semampu kita dari segi tenaga dan masa serta wang ringgit ke Tabung Dana Ramadhan Pusat Islam. Semoga apa yang kita sumbangkan akan dibalas dengan ganjaran yang hebat sebagai saham akhirat,” tambahnyaBeliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang dermawan, terutamanya buat organisasi dan syarikat yang menyampaikan sumbangan pada majlis ini.

Majlis menyaksikan penyerahan Mock Cheque Dana Ramadan yang disampaikan oleh penyumbang seperti Pusat Alumni UUM, Shell Changlun, IR-Saf Holiday & Express, Uniutama Management Holdings Sdn Bhd, Uniutama Education, Jakel Holdings Alor Setar, EDC-UUM dan Uniutama Property Sdn. Bhd (UPSB).

Menjelang Ramadan, tibalah waktu bagi seluruh warga kampus menggembleng seluruh tenaga dalam meningkatkan ibadah dengan penuh bersemangat dalam bulan yang dirindui ini.

PIC 11