UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Islam dan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan Hospiltaliti dan Acara (STHEM) telah mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) – Pendakian Gunung/Bukit Serentak Terbanyak dalam program ‘Forest Hiking Day’ sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa, baru-baru ini.
Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 yang bertemakan ‘Forests and Health’ itu bertujuan bagi menjaga kelestarian pengurusan hutan dan memantau penggunaan sumbernya.
Ketua program, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, objektif utama pengurusan hutan yang baik dan terancang adalah bagi memerangi perubahan iklim dan menyumbang kepada kemakmuran serta kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan.
Menurutnya, hutan memainkan peranan penting dalam pembasmian kemiskinan dan dalam pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Hutan yang sihat untuk orang yang sihat. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga sumber semula jadi yang sangat berharga ini,” katanya.
Ekspedisi mendaki bukit tidak bernama di belakang Kompleks Pusat Islam dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Penyelaras Program Pelancongan STHEM, Mohamad Khairi Mohamad@Alwi, dikuti bacaan doa selamat oleh Mohd Yusnaidi.
Selain dapat memecahkan rekod MBR, 60 pendaki juga dapat menikmati panorama yang tenang dan indah dengan keindahan flora dan fauna.
Peserta, Hazwan berkata, program ini harus dijadikan aktiviti berkala kerana selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim, peserta dapat mencabar kebolehan dan kemampuan fizikal mereka.
“Pendakian selama 3 jam dengan perjalanan sejauh 4 kilometer ini sangat mencabar fizikal dan mental peserta tetapi sangat menyeronokkan,” ujarnya.
Berakhir pendakian, peserta menerima sijil Malaysia Book of Records.