All News

PROGRAM CUTI SEKOLAH LATIH KANAK-KANAK MANTAPKAN SOLAT

UUM ONLINE: Bagi memanfaatkan musim cuti persekolahan, Pusat Islam telah menganjurkan Kem Pemantapan Solat Siri 1/2023 selama lima hari di Masjid Sultan Badlishah melibatkan murid sekolah rendah berusia 7 hingga 12 tahun.

Penyelaras program, Sharif Abdus Salam Sharif Saad berkata, program itu menekankan tentang fardhu ain dan aktiviti sukan bagi membentuk anak-anak kecil ini agar menjadi insan yang jiwanya cinta kepada Al-Quran dan Sunnah.

Katanya, seramai 86 murid telah menyertai program tersebut di mana pelbagai pengisian diadakan merangkumi pemantapan fardhu ain seperti solat, wuduk, hadas dan tayamum, hafazan ayat-ayat lazim, pengenalan kepada pengurusan jenazah serta penekanan tentang tanggungjawab mentaati kedua ibu bapa.

Semua murid itu dibantu oleh sekretariat yang terdiri daripada kakitangan Pusat Islam serta 10 orang fasilitator pelajar UUM.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam, Zar Ei Zakaria berkata, kem solat itu diadakan adalah bagi mengisi masa lapang kanak-kanak agar musim cuti sekolah tidak menjadi sia-sia dan diisi dengan pelbagai ilmu kerohanian yang berfaedah.

Berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa, siri kedua program berkenaan akan diadakan pada cuti penggal persekolahan akan datang.

PIC 8