All News

PENGAJIAN PONDOK UNIVERSITI WADAH DALAMI KITAB TURATH

UUM ONLINE: Pengajian secara tradisional dengan kaedah menelaah kitab telah lama diamalkan dalam sistem tradisi keilmuan di Nusantara.

Kini, kaedah pengajian pondok it uterus dihidupkan oleh Pusat Islam sebagai wadah untuk pelajar dan staf UUM menelaah kitab secara intensif.

Selama tiga hari, seramai 40 peserta telah khatam pengajian kitab Hidayatus Sibyan dalam program Pengajian Pondok Universiti 1444H, baru-baru ini.

Sesi pembelajaran yang diadakan di Bilik Kuliah Masjid Sultan Badlishah UUM itu telah menarik sebahagian besar Exco Kerohanian dan Sahsiah JKPS dari beberapa Inapan Siswa (INASIS) serta wakil surau dan masjid berhampiran UUM.

Penyelaras Pengajian Pondok, Syahril Fazli Mat Hussain berkata, pengajian kali ini memilih kitab yang asas dalam memahami akidah dan fiqh bagi amalan ibadah seharian.

“Pengajian kitab Hidayatus Sibyan ini berfokus untuk menyampaikan kefahaman asas bersesuaian dengan keutamaan dalam kalangan peserta untuk diamalkan dan disebarluaskan kepada rakan-rakan pelajar serta staf UUM,” katanya.

Pengajian ini menerima sambutan baik dengan kehadiran peserta secara berterusan, terutamanya pelajar yang baru sahaja menyelesaikan peperiksaan akhir semester A221.

Tambahan pula, tajaan zakat yang disalurkan melalui Jabatan Strategik dan Pengurusan Perniagaan (BSD) UUM telah memberi manfaat kepada peserta dalam menghadiri setiap sesi pengajian yang dijalankan.

Syahril Fazli berkata, dia berharap program pengajian seperti itu dapat diteruskan lagi dengan sokongan dan sumbangan banyak pihak agar warisan keilmuan ini terus dipelihara dan tidak luput ditelan zaman.

PIC 7