All News

BERSEDIA SEBELUM BERUMAHTANGGA

Sebagaimana yang diketahui umum, kursus pra perkahwinan telah diwajibkan kepada bakal pengantin oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam sejak tahun 1990-an lagi.

Kursus pra perkahwinan adalah persediaan kepada bakal pengantin sebelum bergelar raja sehari di mana melalui kursus ini, mereka akan didedahkan tentang hukum hakam perkahwinan, proses dan prosedur perkahwinan, matlamat sebenar berkahwin, hubungan di antara keluarga dan sebagainya.

Menyedari kepentingan untuk mengikuti kursus ini dan memiliki sijil kursus pra perkahwinan sebelum ke fasa perkahwinan, Pusat Islam mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan FTG Enterprise di Dewan Seminar Pusat Islam selama dua hari pada 18 dan 19 Februari lalu.

Seramai 70 peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar UUM dan masyarakat di sekitar kampus telah menyertai kursus tersebut.

“Terdapat tujuh modul yang dibentangkan merangkumi akidah dan ibadah, akhlak hubungan dalam keluarga, pengurusan kesihatan keluarga, perkahwinan dan prosedur, pengurusan konflik, komunikasi suami isteri dan pembubaran perkahwinan,” kata Ahamad Zabadi Mokhtar selaku penyelaras program.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Dr. Syeikh Hazizan Md. Desa berkata, JHEAIK juga sempat berkongsi topik tentang pembubaran perkahwinan khasnya mengenai persoalan bila dan kenapa.

Kebanyakan peserta amat berpuas hati dan gembira setelah berjaya menamatkan kursus dan tidak sabar menantikan sijil kursus yang akan diperolehi dalam masa terdekat.

 

B15