Lawatan delegasi pelajar Jepun ke Pusat Islam, baru-baru ini memberi dimensi baharu kepada mereka tentang keindahan agama Islam menerusi sesi penerangan yang disampaikan sepanjang lawatan mereka ke Universiti Utara Malaysia (UUM).
Lawatan sambil belajar terdiri daripada 38 pelajar dan empat sukarelawan dari Kyoto Sangyo University (KSU) itu diringi oleh Prof. Mayda Dr. Herman Shah Anuar bersempena ‘UUM-KSU Summer Programme’ anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) UUM.
Herman Shah berkata, lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada pelajar Jepun yang terlibat tentang budaya dan adat resam rakyat Malaysia yang terdiri masyarakat berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama.
Dalam lawatan ke Pusat Islam, pelajar, Ken Matsuzawa telah bertanyakan tentang keistimewaan Islam sehingga ramai yang berminat untuk memeluk agama ini dan persoalannya disambut oleh Ustaz Muhammad Syazwan Menon yang memberikan penjelasan lanjut.
Lebih menggembirakan apabila ramai pelajar yang mengikuti lawatan itu teruja dengan ajaran sebenar Islam, sekali gus menghilangkan persepsi negatif mereka terhadap umat Islam.
“Lawatan seperti ini turut mendedahkan kami untuk memahami bahawa agama Islam adalah agama yang membawa keamanan,” kata Hyuma Kaneshiro.
Di samping itu, pelajar perempuan turut diajar bagaimana mengenakan hijab oleh kakitangan Pusat Islam. Rata-rata mereka menunjukkan rasa gembira dan teruja kerana buat pertama kali mereka berpeluang mengenakan tudung.
Di akhir lawatan, pelajar-pelajar ini telah dibawa ke Masjid Sultan Badlishah bagi merasai sendiri pengalaman melihat umat Islam mendirikan solat Zohor secara berjemaah.
Pelajar KSU ini akan berada di UUM selama tiga minggu bagi mempelajari kelas Bahasa Inggeris serta meneroka keunikan Malaysia dari 12 Februari hingga 5 Mac.
Selain Pusat Islam, mereka turut melawat Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas, Alor Setar di mana mereka diajar tentang pengurusan operasi sistem lapangan terbang oleh Pengurus LTSAH, Lokhman Ahmad.