Sempena Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-39 Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Shahimi Mohtar bersama Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), Dekan-dekan Pusat Pengajian, Pengarah-pengarah, Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab, Pengurus-pengurus, Pengetua-pengetua Inapan Siswa (Inasis), Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), staf dan pelajar menyertai bacaan Yasin dan Tahlil di Masjid Sultan Badlishah kampus ini.
Terdahulu dalam ucapannya beliau memanjatkan doa agar universiti ini terus mencapai kejayaan seperti yang telah dirancang.
“Kita bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana dengan kurnianya universiti yang berusia 39 tahun ini telah mencapai pelbagai kecemerlangan dan pencapaian,” ujarnya lagi.
Pastinya sebagai seorang muslim kita yakin dan bersyukur dengan kurniaan Allah taala sehingga kini.
Dalam meraikan ulang tahun ini pastinya jasa dan sumbangan mereka yang terdahulu juga tidak dilupakan dalam menyumbang idea yang bernas serta menggembleng tenaga dan harta mereka bagi melihat kejayaan universiti ini.
Manakala semua warga universiti pula diajak manfaatkan kecemerlangan di menara gading ini dengan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Moto Ilmu, Budi dan Bakti merupakan komitmen bersama sejak 39 tahun lalu yang kita dukungi sehingga kini.
Oleh itu berkhidmatlah dengan penuh semangat dan mengamalkan kerja secara berpasukan, teratur dan berganding bahu ke arah menabur bakti kepada rakyat dan negara ini.
Moga dengan penganjuran majlis bacaan yasin dan tahlil ini dapat menanamkan semangat kesyukuran dan pengharapan yang tinggi kepada Allah Taala mudah-mudahan UUM akan terus dilimpahi keberkatan dan kebaikan yang berpanjangan serta terus sejahtera dengan rahmat Allah Yang Maha Esa.
Sesungguhnya majlis tahunan ini diadakan bagi memanjatkan doa bersempena Ulangtahun Hari Pengasasan ini agar kita dapat mensyukuri pencapaian terdahulu dan merencana perancangan yang lebih baik pada masa akan datang.