Penghuni Rumah Kebajikan Anak Yatim Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta kenangan bersama apabila mereka berpeluang melawat ke tempat menarik sekitar negeri Perlis, baru-baru ini.
Guru Pembimbing Al-Quran merangkap Warden Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM, Amirul Ashraf berkata, lawatan ke negeri itu bertujuan memberi pengalaman dan mengukuhkan kemahiran psiko-sosial mereka.
Program lawatan bermula dengan aktiviti berkelah di Taman Rekreasi Bukit Ayer supaya mereka dapat beriadah, di samping mengeratkan hubungan dan secara tidak langsung dapat merehatkan minda sebelum menduduki peperiksaan akhir tidak lama lagi.
Lawatan kemudian diteruskan ke Taman Ular dan Reptilia serta Tasik Timah Tasoh. Anak-anak yatim ini diberi peluang untuk merasai pengalaman menaiki bot mengelilingi seluruh tasik sambil mengadakan aktiviti tadabbur alam.
Pegawai pengiring, Aus Korni Yahaya berkata, aktiviti seperti ini merupakan aktiviti berkala yang perlu diadakan dari semasa ke semasa.
“Melalui lawatan seperti ini, anak-anak ini dapat memperoleh pengalaman melancong seperti mana rakan-rakan mereka yang lain. Mereka dapat menanam kemahiran berinteraksi bersama masyarakat umum, di samping menambah ilmu penaakulan terhadap alam serta berfikir mengenai hikmah kejadian alam.
“Diharapkan agar aktiviti lawatan seperti ini memberi manfaat, menambah ilmu serta meningkat nilai jati diri mereka,” katanya.