Fungsi masjid tidak terhad sebagai tempat ibadat solat sahaja, malahan turut merangkumi sebagai pusat pembangunan masyarakat, pendidikan, pentadbiran, penyatuan ummah, sahsiah, ekonomi dan sosia.
Pemerkasaan masjid sebagai institusi Islam juga perlu kepada transformasi pengurusan pembangunan yang diurus dengan cekap dan efisien serta selari dengan keperluan semasa dan syariah.
Menyedari tentang keperluan membangunkan institusi masjid agar lebih mantap dan berkesan, Pusat Islam telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Etika Profesionalisme Imam dan Bilal, baru-baru ini.
Menurut Kamus Bahasa Melayu, etika bermaksud ilmu berkaitan prinsip-prinsip akhlak atau moral yang menjadi pegangan seseorang individu atau kumpulan. Maka bagi memastikan fungsi masjid sentiasa terpelihara, peranan imam dan bilal yang beretika hendaklah dimantapkan.
Bengkel telah dikendalikan oleh Dr. Abdullah Abdul Ghani, mantan staf UUM yang berpengalaman selama 24 tahun menjadi Imam di Masjid Jamek Hutan Kampong.
Menurutnya, objektif bengkel itu adalah bagi mempertingkatkan kemahiran dan kefahaman imam dan bilal mengenai fiqh imam dan bilal, memperjelaskan mengenai etika sebenar imam dan bilal, memperbaiki serta mempertingkatkan mutu bacaan Al-Quran dan azan serta memantapkan aspek kemahiran meliputi personaliti, bacaan dan sebagainya.
“Selain hebat tentang hukum, seseorang imam dan bilal perlu mempunyai ciri-ciri ikhlas, warak, berpakaian bersih, berdisiplin, disukai jemaah, berilmu, rajin dan kreatif,” katanya.
Imam juga selalu menjadi tempat rujukan masyarakat setempat dan tempat menyelesaikan masalah. Malahan di kebanyakan masjid, tugas imam selain menjadi pegawai masjid, beliau turut berperanan sebagai juru nikah.
Di akhir bengkel, Timbalan Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri telah membuat rumusan mengenai etika imam dan bilal yang dipersetujui oleh semua peserta.