Seramai lebih 1,000 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) membanjiri Padang A, Stadium UUM bagi menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana pada Sabtu, 4 Februari 2023.
Majlis ini dianjurkan bagi menyuburkan sifat pergantungan yang tinggi kepada Allah Taala dalam diri setiap pelajar UUM terutamanya ketika menghampiri tempoh peperiksaan akhir semester A221 yang akan bermula pada Isnin.
Sekretariat yang terdiri daripada Pusat Islam, Majlis Pengetua Inasis, Exco Kerohanian & Sahsiah JKPS serta Pusat Sukan telah merencanakan program lebih awal dengan menjemput Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Y. Brs. Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bagi menyampaikan ucapan serta menzahirkan pengharapan kepada para pelajar.
“Saya mendoakan agar para pelajar sekalian akan memperoleh kemudahan dan kecemerlangan sepanjang menduduki peperiksaan, kecemerlangan dalam sahsiah serta perjalanan yang selamat ke pangkuan keluarga nanti”, katanya.
Melalui ucapan itu juga, beliau turut menimbulkan rasa kesyukuran dengan kejayaan menganjurkan program kerohanian di sebuah lapangan baharu dalam sejarah UUM, dengan diserikan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang mengiringi bacaan Yasin dan doa yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Firdaus bin Ahmat.
Majlis ini turut diserikan dengan laungan azan oleh dua orang pelajar Sekretariat Masjid Imam Al-Syafie, Bukit Kachi yang menyaksikan kalimah-kalimah tauhid bergema memecah keheningan senja. Majlis seperti ini merupakan ruang buat para pelajar UUM untuk menyumbang tenaga dan kemahiran mereka.
Justeru, harapan dipanjatkan agar majlis seperti ini berbekas di hati para pelajar, serta dapat diteruskan pada masa akan datang dengan kerjasama semua pihak. Majlis berakhir dengan jamuan untuk para pelajar yang ditaja oleh Inapan Siswa masing-masing.