Kejayaan demi kejayaan yang dicapai Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti kedua terbaik di Malaysia termasuk tersenarai dalam ranking dunia dan juga Asia telah membuka mata banyak pihak.
Atas alasan itulah Pusat Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah memilih Pusat Islam UUM sebagai destinasi menimba ilmu pengetahuan berhubung tadbir urus jabatan dan bagi mendapatkan formula untuk mengimarahkan masjid.
Lawatan penanda aras Pusat Islam UniSZA yang diketuai Pengarah Pusat Islam, Mohd Sayuti Yahya bersama 15 staf itu telah disambut Pengarah Pusat Islam UUM, Zar Ei Zakaria.
Zar Ei berkata, "Kita akan terus berusaha untuk melonjakkan visi dan misi Pusat Islam UniSZA agar setanding malah lebih baik daripada pencapaian Pusat Islam UUM jika ada usaha yang bersungguh-sungguh dengan diringi doa.
“Penanda aras merupakan satu proses yang bersistematik dan berterusan untuk mengenalpasti, mempelajari, mengubahsuai, dan melaksanakan amalan-amalan terbaik daripada organisasi yang dilawati,” katanya.
Taklimat ringkas mengenai latar belakang Pusat Islam UUM, carta fungsi, peranan, tanggungjawab, pelaksanaan program dan lain-lain perkongsian telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md Sabri.
Kemudian, delegasi Pusat Islam UniSZA dibawa melawat sekitar Masjid Sultan Badlishah, Pre-loved Charity Shop dan Rumah Anak Yatim UUM serta Anjung Tamu.
Melalui pertemuan singkat itu, diharapkan dapat memberi sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman yang berfaedah serta dapat mengutuhkan lagi ukhuwah sesama staf.
Semoga hubungan yang terjalin dapat memberi manfaat kepada kedua pihak, seterusnya menjalinkan kerjasama untuk program yang akan datang antara UUM dan UniSZA.