Alor Setar – Seramai 13 pegawai dan fasilitator pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berkampung di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dalam Program Khidmat Komuniti Kembara Ilmu Nur Solat di Surau As-Solihin KSAH, baru-baru ini.
Bengkel yang diadakan dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam KSAH, Majlis Kegiatan Dakwah Islamiyah Sekolah (MAKDIS) dan Pusat Islam UUM itu telah menghimpunkan seramai 119 peserta dari kalangan pelajar Tingkatan Dua untuk mengikuti sesi ceramah, latihan dalam kumpulan dan amali ibadah solat.
Pegawai pengiring, Dakina Zakaria berkata, kerjasama program itu dibentuk bagi menekankan kepentingan solat dan memahami dengan lebih mendalam kaedah mendirikan solat dengan betul mengikut mazhab Syafi’i.
“Sesi ceramah dan diikuti latihan secara amali mengikut kumpulan dapat membantu pelajar beramal dan berinteraksi dengan fasilitator masing-masing.
“Program ini secara tidak langsung, ia membantu para peserta dalam mengukuhkan kefahaman terhadap silibus Pendidikan Islam yang dipelajari di dalam kelas,” katanya.
Di samping itu, aktiviti perbincangan ilmiah secara interaktif juga dijalankan dalam bentuk kuiz berkumpulan. Ia memberi peluang kepada peserta menuntut ilmu dalam suasana yang gembira dan menyeronokkan, selain menimbulkan semangat persaingan yang sihat.
Sepanjang program, fasilitator berperanan berkongsi ilmu dengan mengendalikan latihan amali dan perbincangan dengan baik serta menaikkan semangat peserta agar sentiasa menjaga tanggungjawab terhadap kewajipan fardu ain masing-masing.
Hal ini turut ditekankan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) KSAH, Noor Sarini Sulaiman yang berharap agar semua peserta dapat mengamalkan ilmu yang dipelajari, di samping menghayati kepentingan ibadah solat dalam kehidupan seharian.
“Mari kita renungi hikmah-hikmah yang ditunjukkan melalui solat seperti bagaimana solat mengajar diri kita untuk menjadi seorang Muslim yang berdisiplin, menjaga kebersihan, menepati masa, mengikut teladan kepemimpinan dan menjauhi perbuatan yang tidak baik”, ujarnya.
Justeru, harapan dipanjatkan agar program Kembara Ilmu seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar wibawa keilmuan, kemahiran serta kepakaran yang dimiliki oleh warga UUM dapat memberi manfaat kepada komuniti awam secara meluas.