All News

TINGKATKAN AMALAN IBADAH UNTUK KESIHATAN MENTAL

Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) perlu menitikberatkan soal pembangunan rohani dan jasmani dalam mengerjakan amalan ibadah untuk kesihatan mental.

Sesungguhnya kepentingan untuk menjaga emosi sentiasa ditekankan oleh agama Islam bagi memastikan umatnya berada pada landasan akhlak yang terpelihara.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) yang juga alumni universiti ini  Dr. Mohd. Adib Abd Muin dalam khutbah Jumaat lalu di Masjid Sultan Badlishah UUM turut berkongsi laporan media yang melaporkan menjelang tahun 2030, negara bakal berdepan dengan krisis kesihatan mental yang lebih serius dan kedua tertinggi selepas penyakit jantung.

“Justeru, meningkatkan pengamalan dalam ibadah harian merupakan asas memelihara kesejahteraan emosi dan mental,”ujar beliau.

Oleh itu kesihatan mental perlu dijaga agar tidak menjejaskan masyarakat terutamanya warga universiti.

Laporan dari tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobirditi 2019 yang dikeluarkan oleh Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), turut melaporkan sebanyak 2.3 peratus rakyat mengalami kemurungan dan masalah kesihatan mental di Malaysia.

Manakala, 3.2 peratus golongan bujang mengalami kesihatan mental berbanding hanya 1.8 peratus golongan yang berkahwin.

Bagi  golongan B40 pula catatan kemurungan paling tinggi yang dilaporkan iaitu 2.7 peratus berbanding M40 dengan kadar 1.7 peratus dan T20 sebanyak 0.5 peratus.

Oleh itu beliau menggariskan beberapa amalan gaya hidup yang sihat untuk diamalkan bagi mengurangkan masalah kesihatan mental termasuk rawatan kaunseling dan psikologi berdaftar seperti pakar Psikiatri selain dari meningkatkan amalan ibadah.

“Moga dengan mengingati Allah SWT selalu, kita bukan sahaja akan tenang dan tenteram malah jiwa kita tidak mudah terjerumus ke dalam perkara yang negatif dan berdosa. Mempercayai dan meyakini tentang kewujudan Allah SWT akan menjadikan seseorang itu sentiasa bersyukur, bermuhasabah diri, bertawakal, sabar dan redha kepada Allah SWT,”dalam khutbahnya.

Amalan paling penting sebagai umat Islam perlulah meningkatkan amalan solat serta meninggalkan perkara-perkara yang haram dan syubhat. Sentiasalah bermunajat kepada Allah SWT serta sering menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Beliau yang juga Penolong Ketua Kompeni Pasukan Pegawai Latihan Simpanan (PALAPES) UUM telah dipilih sebagai Khatib jemputan oleh Pusat Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan tajuk khutbah beliau, ‘Kesejahteraan dan Kesihatan Mental Perlu dijaga’ baru-baru ini.

Moga khutbah yang disampaikan ini akan membantu mahasiswa kampus ini menjelang tempoh peperiksaan yang bakal dihadapi tidak lama lagi.

B6