Penganjuran program rekreasi merupakan platform terbaik bagi membuka peluang mengeratkan semangat setia kawan dalam kalangan staf Pusat Islam, di samping dapat menyihatkan tubuh badan.
Seramai 20 staf Pusat Islam telah menyertai program pendakian bukit yang terletak di belakang Kompleks Pusat Islam. Misi pendakian telah diketuai oleh pesara UUM, Kamaluddin Chin dan Romi Md Nor dari Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan.
Penyelaras program, Azizan Ali berkata, program dimulakan dengan bacaan doa selamat dan senaman regangan sebelum pendakian.
Menurutnya, bukit yang belum diberi nama itu bakal menjadi tempat tumpuan untuk aktiviti rekreasi di UUM kerana ia menyediakan suatu panorama yang tenang dan indah, selain mempunyai flora dan fauna yang menarik.
“Program ini harus dijadikan aktiviti berkala kerana selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim, peserta dapat mencabar kebolehan dan kemampuan fizikal mereka,” ujarnya.
Pendakian selama 2 jam dengan perjalanan sejauh 3 kilometer itu sangat mencabar fizikal dan mental peserta.