All News

MEMBELI ATAU MEMBERI DI ‘PRE-LOVED CHARITY SHOP’ PUSAT ISLAM

Pelajar, staf dan orang ramai kini boleh melawat ‘Pre-loved Charity Shop’ di Pusat Islam untuk tujuan membeli atau menyumbang barangan keperluan harian khasnya pakaian, pinggan mangkuk dan barangan makanan di bangunan Masjid Sultan Badlishah, UUM.

Projek kedai amal ini telah diilhamkan oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md Sabri selaku Penasihat Pre-loved Charity Shop, seterusnya direalisasikan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Dr. Nursiha Alias.

Seramai 70 pelajar yang mengambil subjek Pemasaran Islam seliaan Dr. Nursiha telah mengambil bahagian dalam usaha menubuhkan kedai yang berkonsep kebajikan itu.

Menurut Mohd Yusnaidi, sejak kedai itu beroperasi dua bulan lalu, ia telah memperoleh keuntungan hampir RM2,000.

“Wang yang diterima hasil daripada jualan semula barangan tersebut akan dimasukkan ke Akaun Kelab Ukhuwwah Pusat Islam dan seterusnya disalurkan untuk aktiviti-aktiviti kebajikan yang memerlukan dana.

"Kami sangat menghargai sumbangan pakaian, pinggan mangkuk dan makanan daripada orang ramai untuk ‘charity shop’ ini,” ujarnya.

Majlis Penyerahan Projek ‘Pre-loved Charity Shop’ kepada Pusat Islam secara rasminya telah diadakan baru-baru ini di Dewan Seminar, Pusat Islam.

Sementara itu, Pengarah Program ‘Pre-loved Charity Shop’, Shakir Naushad berkata, harga pakaian yang dijual amat berpatutan iaitu di antara RM1 hingga RM10 disebabkan pakaian tersebut diperoleh daripada sumbangan orang ramai dan tidak perlu mengeluarkan modal.

Malah katanya, usaha untuk mendapatkan pakaian baru daripada syarikat-syarikat pakaian yang tidak mahu menyimpan stok pakaian lama di premis mereka juga akan dibuat dengan kerjasama Pusat Islam nanti.

Sumbangan berbentuk pakaian, barangan makanan dan wang tunai boleh disalurkan kepada ‘Pre-loved Charity Shop’ dengan menghubungi Ustaz Ahmad Zabadi Mokhtar di talian 04-928 2566 atau 017-830 1229. Kedai dibuka pada setiap hari kecuali Ahad dan Rabu.

B4