All News

FITNAH AKHIR ZAMAN ROSAKKAN INSTITUSI

Perubahan zaman yang semakin mencabar dengan perkembangan teknologi menjadikan kehidupan manusia terdedah dengan pelbagai ancaman pemikiran dan masalah rohani. Fitnah berleluasa lantaran informasi yang berlegar terlalu cepat tanpa saringan.

Menyedari hal itu, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Ceramah Perdana bertajuk ‘Fitnah Akhir Zaman’ yang disampaikan oleh penceramah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sultan Badlishah, semalam.

Pengarah Pusat Islam, Zar Ei Zakaria berkata, program anjuran bersama Sekretariat Rakan Muda UUM (SRMUUM) dan Sekretariat Hal Ehwal Wanita (HELWA UUM) itu sangat penting bagi membentuk kesedaran kepada mahasiswa dan masyarakat kampus amnya tentang budaya fitnah yang boleh merosakkan institusi.

“Hari ini kita diselubungi dengan pelbagai isu dan masalah sosial. Ia berkembang menjadi fitnah dan akhirnya menyebabkan kita berpecah belah.

“Ini tidak baik kepada masa depan mahasiswa kita. Bimbang mereka akan terbiasa dengan budaya ini. Sebab itu kita menjemput beliau (Ustaz Wadi Annuar) untuk sampaikan dakwah tentang bahaya fitnah,” katanya.

Program ceramah yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar itu berjaya menarik hampir 3,000 orang terdiri daripada mahasiswa, staf dan masyarakat sekitar luar kampus.  

Shahimi yang ditemui berkata, penganjuran program tersebut sangat baik dan perlu diteruskan bagi memberi kesedaran mendalam kepada mahasiswa UUM.

“Ini yang kita mahu. Ceramah perdana ini sangat bermanfaat. Jumlah kehadiran sangat ramai walaupun pelajar bercuti dan balik kampung, namun sambutan sangat menggalakkan.

“Tahniah kepada Pusat Islam dan sekretariat pelajar yang menganjurkan ceramah perdana ini. Saya berharap program sebegini perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mengulas tajuk ceramah yang disifatkan sangat tepat dan sesuai dengan suasana yang melanda dalam masyarakat hari ini.

“Selain hadirin yang ramai, pemilihan tajuk dan penceramah juga sangat tepat kerana hal inilah yang perlu dititikberatkan. Elakkan budaya fitnah ini berleluasa kerana ia boleh merosakkan institusi,” ujar beliau.

Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar mempunyai pengikut kira-kira 400,000 di laman sosial dan beliau merupakan pendakwah terkenal dengan ceramah berkaitan hari kiamat dan akhir zaman.

B3