All News

150 ‘DUYUFURRAHMAN’ SERTAI KURSUS HAJI PERCUMA

Lebih 150 bakal ‘duyufurrahman’ atau bakal jemaah haji telah mengikuti Kursus Asas Haji (KAH) secara percuma anjuran Pusat Islam yang diadakan hampir tiga jam pada setiap Jumaat di Dewan Seminar Pusat Islam.

Kursus tersebut merupakan kursus haji peringkat pertama yang diikuti oleh bakal jemaah haji yang diadakan sebanyak 13 siri bermula 25 November 2022 sehingga 17 Februari 2023.

Penyelaras program, Ustaz Ahmad Zabadi Mokhtar berkata, program kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji itu menawarkan modul kursus yang merangkumi pendedahan asas berkaitan ibadat haji, kesihatan dan pengurusan haji di tanah air dan di tanah suci.

“Peserta kursus tidak dihadkan kepada bakal haji yang terpilih pada tahun semasa sahaja, bahkan penyertaan dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk mempelajari hal ehwal ibadah haji dan umrah.

“Kursus Asas Haji pada tahun ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada staf dan masyarakat sekitar dengan pegendalian oleh pembimbing dari Tabung Haji yang berpengalaman seperti Ustaz Muhammad Nasir, Ustazah Siti Hajar dan lain-lain pembimbing terlatih,” katanya.

Kursus Intensif Haji (KIH) yang merupakan kursus haji peringkat kedua akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke tanah suci, diikuti dengan Kursus Khas Haji (KKH) dan Kursus Perdana Haji yang akan diadakan sebagai persediaan bakal jemaah haji sebelum berangkat ke tanah suci Mekah.

Rata-rata peserta yang ditemui mengucapkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Pusat Islam kerana berjaya menganjurkan kursus ini sebagai persiapan awal mereka mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

B2