Lebih 2,000 peserta Sijil Eksekutif Kepimpinan Islam dan Komuniti (SKIL) terdiri pelajar Semester A221 berjaya dihimpunkan dalam pertemuan mega SKIL di Masjid Sultan Badlishah dan Masjid Imam As-Syafi’e, Bukit Kachi, baru-baru ini.
Perjumpaan anjuran sekretariat SKIL, Pusat Islam dengan kerjasama Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Kerohanian Inapan Siswa (INASIS) UUM itu diadakan bagi menghimpunkan pembimbing, sekretariat, fasilitator dan peserta SKIL dalam satu halaqah yang besar.
Penyelaras SKIL, Ustaz Muhammad Syazwan Menon berkata, program itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan diikuti dengan Forum Perdana bertajuk ‘Diskusi Ilmiah: Rungkaikan Kemusykilan Anda’.
Rata-rata pelajar berasa bersyukur dan berpuas hati kerana selain daripada dapat menimba ilmu agama, mereka juga berpeluang beramah mesra dan bertukar pendapat dengan peserta program yang lain.
SKIL merupakan program yang diinspirasikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah mula menunjukkan kejayaan hasil daripada usaha bersungguh-sungguh semua pihak termasuk peserta sendiri.
Sebanyak 10 bas disediakan sebagai pengangkutan utama pelajar untuk mengikuti program ini. Majlis diakhiri dengan solat Isyak berjemaah dan jamuan ringan.