Memasuki tahun baharu 2023, pengurusan Pusat Islam telah mengadakan sesi pertemuan bersama petugas pembersihan dari Uniutama Property Sdn Bhd (UPSB) dan Syarikat Mutiara Concept Network Sdn Bhd yang baru dilantik bertugas di sini mulai 1 Januari tahun ini.
Perjumpaan tersebut merupakan satu medium interaksi antara semua pihak terlibat dalam menjelaskan harapan dan impian serta hala tuju Pusat Islam dalam menempuh lebih banyak kejayaan pada tahun ini serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam yang berteraskan nilai, kualiti, bersih, cekap dan amanah.
Di samping itu, memastikan bahawa setiap pekerja dapat memahami dan menghayati kehendak Pusat Islam agar dapat memberikan perkhidmatan yang profesional, terbaik dan berkesan kepada pelanggan.
Sesi dimulakan dengan aluan Ustaz Mohd Yusnaidi Md Sabri yang mewakili Pengarah Pusat Islam.
Beliau berharap agar pekerja dari kedua syarikat itu dapat membantu Pusat Islam bagi mencapai visi dan misi Pusat Islam sebagai Pusat Rujukan Hal Ehwal Islam yang terkemuka di wilayah utara ini.
“Saya ingin melihat mutu perkhidmatan kebersihan dan pencucian kekal berada di tahap paling cemerlang untuk tahun ini. Menjaga kebersihan hendaklah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan kita sama ada kebersihan diri sendiri, tempat tinggal, masjid atau tempat awam,” katanya.
Akhir sekali, program ini dapat memberi ruang dan peluang di antara UPSB, Syarikat Mutiara dan Pusat Islam untuk lebih dekat bagi bertukar-tukar pendapat dan menyelesaikan isu semasa ke arah pencapaian matlamat bersama.