All News

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1444H

Pada 18 Oktober Yang lalu, telah dianjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Perhimpunan Bulanan Staf, majlis yang bertemakan UUM Cinta Rasul telah berlangsung dengan meriah.

Ustaz Haslin Baharim atau lebih dikenali Ustaz Bollywood telah dijemput memberi ceramah pada majlis tersebut berkata, Rasulullah memiliki akhlak yang sangat mulia jadi sifat baginda perlu dicontohi dan diamalkan dalam kehidupan sebenar untuk berjaya.

Jelasnya, setiap individu perlu menghayati empat sifat terpuji baginda iaitu Siddiq (benar), Amanah, Tabligh (menyampaikan) dan Fathonah (bijak) untuk berjaya di dunia dan akhirat. 

Selain ceramah, sambutan secara bersemuka ini sarat dengan pengisian antaranya persembahan alunan nasyid oleh Creative Talent Nasyid, Pusat Budaya dan Seni, selawat qasidah pimpinan Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) di samping selawat beramai-ramai untuk menzahirkan rasa syukur menjadi umat Nabi Muhammad SAW bertepatan dengan tema, “UUM Cinta Rasul”.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam ucapannya berharap agar warga universiti sentiasa mengenang perjuangan baginda Rasulullah SAW dałam melalui pelbagai cabaran serta meneladani keperibadian baginda dalam pelbagai aspek kehidupan.

Dalam majlis yang turut dihadiri pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok ini, Naib Canselor turut menyampaikan hadiah kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) yang menjuarai kontinjen terbaik dan Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS) yang memenangi sepanduk terbaik.

Tempat kedua dan ketiga bagi kategori kontinjen terbaik dimenangi AHSGS dan Jabatan Pendaftar manakala Jabatan Canselori dan Jabatan Pendaftar memenangi tempat kedua dan ketiga kategori sepanduk terbaik.

Bagi kategori pelajar pula, Inapan Siswa (INASIS) Sime Darby menjuarai kategori kontinjen terbaik dan sepanduk terbaik.

Inasis MAS dan TNB pula masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga kategori kontinjen terbaik sementara Inasis Petronas dan Yayasan Al-bukhary tempat kedua dan ketiga kategori sepanduk terbaik.