29 JUN 2021 - Keprihatinan pihak Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membuka peluang kepada masyarakat untuk sama-sama membantu mereka yang terjejas akibat Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini. Terutamanya mereka yang merupakan golongan B40 dan Asnaf di mana pendapatan mereka turut terkesan di sepanjang tempoh PKP sejak bulan yang lalu. Bukan itu sahaja, beberapa pondok pengajian juga di dapati turut memerlukan sumbangan untuk memastikan kebajikan para penghuninnya terjaga.
Alhamdulillah, hebahan untuk kutipan sumbangan tersebut, telah mendapat sambutan dari orang ramai. Berikutan itu, hasil sumbangan telah di sampaikan oleh wakil Pusat Islam UUM iaitu Ustaz Aus Korni, Ustaz Syahril Fazli dan Ustazah Azlinah. Sumbangan itu telah diagihkan kepada beberapa buah pondok pengajian dan juga keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan di sekitar kawasan Changlun, Hosba dan Jitra. Bantuan kewangan dan juga barangan keperluan asas telah diberikan kepada mereka supaya dapat meringankan beban mereka. Pusat Islam UUM sentiasa mengharapkan keprihatinan dari masyarakat untuk terus menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutamanya dalam tempoh penularan wabak COVID-19 sekarang. Semoga Sumbangan COVID-19 ini, dapat membantu kelangsungan hidup mereka yang telah terjejas akibat pandemik yang berlaku pada hari ini.