hd-edit-latest-copy

22
Mar 16

Latar Belakang Pusat Islam Universiti Utara Malaysia

Syiar Islam di Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula seiring dengan penubunhan Universiti pada tahun 1984 apabila tertubuhnya Unit Kerohanian Jabatan Hal Ehwal Pelajar di Kampus Tanah Merah, Jitra. Apabila UUM berpindah ke kampus tetap pada tahun 1990, unit tersebut terus diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Namun, pada tahun 1999, unit tersebut akhirnya dinaik taraf menjadi Pusat Islam melalui persetujuan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dalam mesyuarat LPU bilangan 1/99 pada 9 Januari tahun berkenaan.

Sejak menjadi sebuah pusat tanggungjawab, Pusat Islam UUM menjalankan operasinya di Masjid Sultan Badlishah sehinggalah terbinanya Kompleks Pusat Islam bernilai RM 7 juta pada Januari 2011. Melalui sokongan kakitangan seramai 21 orang yang terdiri daripada Pengarah, Pegawai Hal Ehwal Islam dan kakitangan sokongan, kini Pusat Islam mempunyai lima bahagian operasi iaitu Bahagian Pentadbiran Dan Kewangan, Bahagian Pengurusan masjid yang mengawal selia Masjid Sultan Badlishah dan Masjid Al Imam As Syafie, Bahagian helwa, Bahagian Penyelidikan dan perundingan, dan Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Luar.

Selain daripada Masjid Sultan Badlishah di kampus utama, Pusat Islam turut bertanggungjawab menguruskan Masjid Al-Imam As-Syafie, iaitu masjid kedua UUM yang siap dibina pada tahun 2004. Masjid kedua itu dibina bagi memudahkan para pelajar di Dewan Penginapan Pelajar Bank Rakyat dan SME Bank serta masyarakat sekitar. Setakat ini, pelbagai program mengimarahkan kedua-dua masjid dilakukan dengan penuh iltizam dan tanggungjawab oleh para pegawai di Unit Pengurusan Masjid, Pusat Islam.

Kini, Pusat Islam giat mengatur pelbagai aktiviti dan program keislaman di peringkat universiti dan wilayah bagi mempertingkatkan kefahaman, penghayatan Islam dan ketaqwaan. Pusat Islam juga turut memberi bimbingan dan khidmat nasihat kerohanian di samping mengurus aktiviti dan program yang dapat memakmurkan penyertaan masyarakat persekitaran ke masjid. Pusat Islam juga berusaha menjalinkan hubungan dengan pelbagai agensi dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang ada seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan PERKIM dalam usaha membangunkan modal insan.