Buletin Pusat Islam

Soalan: Adakah dalam islam dibolehkan bersanding walaupun tanpa bertepung tawar. Adakah untuk mengambil gambar diatas pelamin sememangnya tidak boleh?


Jawapan : Persandingan merupakan budaya yang diambil daripada masyarakat Hindu seperti juga berinai. Di dalam islam tidak disyariatkan perbuatan tersebut.

Namun jika tujuan sebagai kenang-kenangan, ia diharuskan tetapi perlulah diikuti dengan beberapa syarat :

1. Memastikan pasangan pengantin menutup aurat.

2. Tidak mempertontonkan secara terbuka kepada yang bukan mahram.

3. Pakaian dan perhiasan selaras dengan kehendak syarak.

Soalan :Apa hukum isteri keluar rumah tanpa pengetahuan suami?

Jawapan: Merujuk kepada soalan anda, jika sekiranya isteri keluar rumah tanpa pengetahuan dan izin suaminya untuk tujuan maksiat dan melakukan perkara sia-sia, maka hukumya adalah dilarang oleh agama dan berdosa. Ia dibenarkan keluar kerana tujuan tertentu seperti untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran dan sebarang ancaman yang lain. Demikian juga dibenarkan isteri keluar rumah untuk mempelajari ilmu yang wajib (fardu ain) dalam agama sedangkan di rumahnya tidak disediakan kelas tersebut sama ada oleh suaminya sendiri atau dengan memanggil orang lain ke rumahnya yang merupakan tugas dan tanggungjawab suami terhadap isterinya sendiri. Adapun tujuan yang tidak perlu seperti keluar menziarahi kawan atau ke pasar atau bersiar-siar ia adalah dilarang keras oleh agama. Begitu juga membawa orang lain ke dalam rumah tanpa kebenarannya (suami). Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini tanpa disedari. Begitu juga isteri boleh keluar rumah untuk ke mahkamah/pejabat agama bagi tujuan membuat pengaduan kepada qadhi tentang masalah keluarganya, maka ia dibolehkan pada syarak.